KUANTAN – Hasrat seorang nelayan warganegara Thailand pulang ke kampung halaman tidak kesampaian apabila dia dilaporkan meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan, awal pagi tadi.
Mangsa, Sa-Edin Samaae, 57, yang dipercayai bekerja di sebuah syarikat perikanan di Endau, Johor sebelum itu singgah di lokasi terbabit dalam perjalanan pulang ke Thailand.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.26 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
“Mangsa bersama enam individu warganegara Thailand menaiki van bertolak dari Endau, Johor untuk pulang ke Thailand.
“Semasa dalam perjalanan kira-kira pukul 1 pagi, mangsa memaklumkan pemandu van itu bahawa dia tidak sihat dan mahu ke tandas.
“Beberapa minit kemudian apabila keluar daripada tandas, dia dilihat berdiri sambil memegang tiang batu di hadapan tandas dan terus rebah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashari, pemandu van yang menyaksikan kejadian itu bersama orang awam di lokasi terbabit kemudian mengangkatnya dan meletakkan di atas kerusi batu sebelum menghubungi pihak hospital.
Beliau berkata, hasil keterangan rakan sebilik mangsa, dia dikatakan mahu pulang ke Thailand kerana tidak sihat sejak dua minggu lepas.
Kes tersebut diklasifikan sebagai mati mengejut sehingga siasatan dan bedah siasat selesai dijalankan. – MalaysiaGazette
















