Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis Melaka menafikan penglibatan kontinjen itu dalam sebarang permohonan sumbangan seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia selepas pihaknya menerima penyebaran mesej mengenai penganjuran program ‘Kursus Pemantapan Integriti dan Pemanduan Asas (SOP) Cawangan Trafik dan Pengangkutan IPK Melaka Siri 2/2026’.

Menurutnya, hebahan itu memaparkan gambar anggota beruniform berlokasi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta kandungan mesej mengenai permohonan sumbangan kewangan termasuk butiran akaun bank.

“Polis mengesahkan tiada sebarang kursus atau program seperti dinyatakan dianjurkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Melaka.

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini dipercayai mempunyai unsur penipuan bagi mendapatkan keuntungan secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah percaya sebarang hebahan di media sosial tanpa pengesahan rasmi serta tidak membuat transaksi kewangan kepada pihak tidak dikenali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast