Akmal Nasrullah Mohd Nasir melawat mesin layan diri iaitu projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Insan di IPGKTI, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kegagalan membayar balik pinjaman peribadi dikenal pasti menjadi punca ramai yang diisytiharkan bankrap.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendedahkan, Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 31,517 kes bankrap dari 2021 hingga bulan lalu dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada kegagalan membayar pinjaman peribadi.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 15 peratus bersamaan 4,704 kes membabitkan individu berusia 34 tahun ke bawah.

“Sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan adalah berpunca daripada pinjaman peribadi, dengan melibatkan 4,704 individu yang berusia 34 tahun ke bawah.

“Oleh sebab itu, kesedaran kewangan ini perlu kita tingkatkan, Dasar Peluang Kedua (DPK) ini membolehkan mereka yang telah terjebak atau terkesan dalam isu bankrap dapat memulakan kembali kehidupan dari sudut kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program DPK 3.0 – Pelepasan Fast Track 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri.

Akmal Nasrullah berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada ikhtiar kerajaan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai pengurusan dan literasi kewangan.

Selain menguruskan isu kebankrapan, katanya, kerajaan juga perlu memikirkan solusi bagi mencegah perkara itu daripada terus berlaku dengan cara memupuk kesedaran daripada awal.

“Untuk program kali ini, ia merupakan kesinambungan dasar kita untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang sebenarnya telah diisytiharkan bankrap.

“Cuma, untuk program bagi fasa ini tertumpu kepada empat kumpulan bankrap iaitu mereka dengan status sebagai ibu atau bapa tunggal; peminjam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS); mangsa penipuan kewangan atau pembeli rumah projek terbengkalai,” jelasnya.

Sementara itu, Ishak dalam ucapannya berkata, sejak Program DPK – Pelepasan Fast Track dilancarkan pada 16 Februai lalu, Jabatan Insolvensi Negeri Johor menerima 45 permohonan terdiri daripada empat kategori bankrap yang difokuskan.

“Sebanyak 31 permohonan dari kategori ibu atau bapa tunggal; 10 daripada kategori PMKS; seorang mangsa penipuan dan tiga daripada kategori rumah terbengkalai.

“Program ini menjadi platform untuk memahami realiti sebenar isu keberhutangan dan bagaimana negara menyediakan jalan keluar yang lebih adil dan berperikemanusiaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast