Aliff Hilmi.

KUALA LUMPUR – Data pendaftaran ahli baharu UMNO setakat pukul 6 petang semalam, membuktikan satu hakikat yang tidak boleh lagi dinafikan mana-mana pihak, khususnya pembangkang yang sering memainkan naratif kononnya anak muda hari ini sudah muak dengan politik dan tidak peduli soal masa depan negara.

Exco Pemuda UMNO, Aliff Hilmi berkata, daripada keseluruhan 8,861 permohonan baharu itu, sebanyak 5,319 permohonan atau 60 peratus datang daripada kategori Pemuda.

Menurut beliau, angka itu adalah majoriti mutlak dan menjadi bukti jelas bahawa golongan muda bukan sahaja mengambil tahu tentang politik, malah memilih untuk terlibat secara langsung dalam wadah perjuangan yang tersusun dan berprinsip.

“Ini menunjukkan generasi muda hari ini semakin matang menilai antara politik retorik dengan politik berteraskan tindakan.

“Mereka sedar bahawa masa depan negara tidak boleh diserahkan kepada pihak yang hanya pandai menabur janji, mencetus kebencian dan bermain persepsi tanpa pelan yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Data keahlian baharu UMNO.

Tambah Aliff, kemasukan besar anak muda ke dalam UMNO juga membawa mesej bahawa jiwa generasi muda Malaysia masih utuh dengan semangat perjuangan untuk mempertahankan bangsa, memartabatkan agama dan menjamin kestabilan negara.

Ujarnya, gologan itu memahami bahawa keamanan, kemajuan ekonomi dan keharmonian masyarakat yang dinikmati hari ini lahir daripada perjuangan panjang yang mesti diwarisi, dipelihara dan diperkasakan.

“Anak muda hari ini bukan apolitikal. Anak muda hari ini bukan pasif.

“Anak muda hari ini sedang bangkit mengambil tempat di barisan hadapan menentukan hala tuju negara,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, Pemuda UMNO akan terus menjadi platform utama menghimpunkan tenaga, idealisme dan keberanian generasi muda demi memastikan Malaysia terus dipimpin dengan kestabilan, maruah dan masa depan yang lebih gemilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast