MELAKA – Memakan gula-gula disyaki mengandungi dadah dipercayai milik pempengaruh terkenal menjadi punca kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun positif dadah minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati gula-gula tersebut dibeli suspek berusia 39 tahun yang tinggal bersama ibunya, yang juga pengasuh kanak-kanak berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa membeli gula-gula tersebut dari negara jiran sebelum menyimpannya di dalam peti ais rumah ibunya itu.
“Bagaimanapun, tanpa disedari, kanak-kanak yang gemarkan gula-gula telah mengambil dan memakannya sebelum mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital.
“Namun, gula-gula yang dimaksudkan tidak ditemukan semasa serbuan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pempengaruh lelaki dari Melaka direman bagi membantu siasatan selepas kanak-kanak tersebut disahkan positif bahan terlarang jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan mula dikesan pada 14 April lalu.
Dzulkhairi berkata, ia selepas selepas pengadu iaitu pegawai perubatan Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar pada kira-kira jam 5 petang.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pihak hospital anaknya itu sebelum ini berada di bawah jagaan seorang pengasuh iaitu ibu pempengaruh lelaki berkenaan di kawasan Sungai Putat, di sini.
“Mangsa bagaimanapun sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka telah menahan suspek iaitu pempengaruh lelaki berkenaan kira-kira jam 9.30 malam 15 April lalu.
Suspek disahkan tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah.
Suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 16 April hingga semalam, sebelum tempoh reman disambung selama lima hari lagi bermula hari inil hingga 27 April depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















