Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR — Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir pihak tertentu yang gemar memperlekehkan lawan politik dengan label ‘tin milo’, namun mendakwa golongan sama sebenarnya terpalit dengan isu lebih besar.

Menurut beliau, sindiran yang sering digunakan untuk menggambarkan kononnya kehidupan sederhana pihak lawan tidak mencerminkan realiti sebenar yang berlaku di sebalik tabir.

“Mereka perlekehkan lawan dengan kononnya sentiasa buka ‘tin milo’, rupanya mereka mewah dengan sakau duit zakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun tidak memperincikan pihak tertentu yang diselar beliau.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menahan tiga orang, termasuk seorang pemimpin kanan sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta antara 2018 hingga 2024.

Sumber mendakwa, suspek memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikat bagi tujuan pelaburan dan peribadi.

Media melaporkan SPRM menyita 18 kenderaan mewah, termasuk Porsche dan Mercedes, rumah dan hartanah bernilai kira-kira RM11 juta, serta pelbagai harta alih meliputi wang dan jam tangan mewah.

Sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta juga dibekukan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) sebelum ini tampil berjanji memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM selepas tiga ahlinya ditahan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut tampil menjelaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast