Azrif Abd Rashid.

JOHOR BAHRU – Sebarang dasar atau arahan berkaitan pengurusan sekolah perlu disalurkan secara rasmi melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dengan garis panduan yang jelas dan terperinci.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Azrif Abd Rashid berkata, kaedah itu penting bagi memastikan pelaksanaan di peringkat sekolah tidak bercanggah dengan prinsip keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.

“Pejuang Johor berpandangan bahawa murid boleh dilibatkan dalam aktiviti pendidikan berkaitan kebersihan dalam skop yang sesuai dengan usia seperti menjaga kebersihan persekitaran sekolah, menggunakan tandas dengan betul serta menyertai aktiviti gotong-royong yang selamat dan terkawal.

“Namun, kerja-kerja pembersihan berat seperti mencuci tandas secara menyeluruh seharusnya kekal menjadi tanggungjawab pekerja pembersihan yang dilantik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pejuang Johor berpandangan bahawa isu kebersihan tandas sekolah merupakan perkara penting dalam membentuk budaya disiplin dan tanggungjawab murid.

Namun, katanya, cara penyampaian sesuatu cadangan atau arahan perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.

Beliau berkata, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan berkaitan penglibatan murid dalam mencuci tandas, mesej tersebut membawa implikasi besar.

Azrif menambah, kenyataan berkenaan mudah ditafsir sebagai satu arahan rasmi yang wajib dilaksanakan di semua sekolah.

Jelasnya, keadaan tersebut nenimbulkan persoalan sama ada ia merupakan satu dasar nasional atau sekadar cadangan berbentuk pendidikan nilai.

“Kami juga menegaskan bahawa peranan seorang Perdana Menteri adalah untuk menetapkan hala tuju dan nilai besar seperti disiplin, tanggungjawab serta kepentingan kebersihan.

“Namun, aspek pelaksanaan teknikal wajar diserahkan kepada kementerian berkaitan agar dilaksanakan secara sistematik dan profesional,” katanya.

Tambah beliau, Pejuang Johor menyokong usaha membentuk jati diri murid melalui pendidikan nilai yang baik.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya menolak sebarang pendekatan yang berpotensi menjadikan murid sebagai pengganti kepada pekerja pembersihan atau mendedahkan mereka kepada tugas tidak sesuai dengan peringkat usia mereka.

Katanya, pendidikan yang seimbang bukan sahaja membentuk sahsiah tetapi juga memastikan hak, keselamatan dan kebajikan murid sentiasa terpelihara.

“Oleh itu, sebarang kenyataan daripada kepimpinan tertinggi negara perlu difahami sebagai mesej nilai, dan bukan arahan wajib tanpa garis panduan yang jelas,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast