KUALA LUMPUR – Kegagalan menyelenggara pokok di laluan awam akhirnya memakan diri apabila Mahkamah Tinggi di sini memutuskan kerajaan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membayar lebih RM750,000 kepada dua beranak yang cedera akibat insiden dahan tumbang.
Hakim Yusrin Faidz Yusoff membenarkan rayuan Nur Zafirah Bazaredi, 32, dan ibunya, Norliza Mat Hassan, 58, mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menolak saman mereka.
Dalam keputusan itu, mahkamah memerintahkan Nur Zafirah menerima RM354,120 manakala Norliza dianugerahkan RM397,650 sebagai ganti rugi.
Kes berkenaan berpunca daripada kejadian pada 7 Oktober 2017 apabila dahan pokok besar tumbang dan menghempap dua kenderaan di jalan persekutuan, dengan Zafirah memandu salah satu daripadanya dan ibunya berada di tempat duduk penumpang.
Kedua-dua plaintif kemudian memfailkan saman kecuaian terhadap kerajaan, JKR, syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati kerajaan dan JKR tidak boleh melepaskan tanggungjawab sebagai pemilik serta pentadbir jalan berkenaan.
Menurut hakim, kegagalan memberikan penjelasan munasabah berhubung punca pokok tumbang serta ketiadaan bukti pemeriksaan berkala jelas menunjukkan unsur kecuaian.
“Sebagai pihak yang mengurus dan memiliki jalan, mereka bertanggungjawab memastikan keselamatan pengguna,” katanya dalam penghakiman.
Mahkamah turut menegaskan tindakan kerajaan yang cuba mengalihkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh diterima.
Sementara itu, tuntutan terhadap Roadcare ditolak selepas mahkamah berpuas hati skop tugas syarikat konsesi itu tidak merangkumi penyelenggaraan pokok, sebaliknya hanya membersihkan halangan selepas kejadian bagi melancarkan trafik. – MalaysiaGazette















