Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KULAI – Tindakan sebuah restoran mengingkari arahan penutupan premis makanan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan tahun lalu membawa padah apabila didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret R Salini menjatuhkan hukuman denda itu selepas Orang Kena Saman (OKS), Indahpura Third Junction Café menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding sebutan semula kes bagi serahan dokumen sebelum perbicaraan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara empat bulan sekiranya OKS gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, OKS didakwa ingkar kepada perintah arahan penutupan premis makanan tidak suci di restoran berkenaan di Jalan Kenanga 29/4, Taman Indahpura di sini, pukul 2.40 petang, 23 Februari 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Fakhruz Zaman Ma’rof dan Muhd Azizul Masri.

Berdasarkan fakta kes, pada 23 Februari 2025, seorang pegawai kesihatan pergi ke restoran berkenaan bagi tujuan pemantauan semula premis makanan yang sudah mendapat arahan penutupan pada 21 Februari 2025.

Difahamkan, hasil pemantauan yang dijalankan mendapati restoran itu masih menjalankan perniagaan seperti biasa dengan menyediakan makanan untuk dijual kepada pelanggan dan tidak mematuhi perintah bertulis penutupan premis menjual makanan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Sementara itu, JKNJ dalam satu kenyataan berkata, kes itu mencerminkan komitmen berterusan Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam serta memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengusaha premis makanan.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan menegaskan bahawa semua pengusaha premis makanan hendaklah sentiasa mematuhi arahan penutupan, peraturan kebersihan serta garis panduan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan makanan dan melindungi kesihatan awam.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast