KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua jawatan berkaitan kerajaan negeri.
Peletakan jawatan itu dinyatakan secara rasmi semasa pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi GRS kelmarin.
Keputusan Presiden USNO itu juga disahut secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO semalam, untuk keluar daripada gabungan GRS.
Menurut kenyataan di Facebook Warta USNO, antara justifikasi awal tentang keputusan USNO itu ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU-DU) Sabah ke-17.
Katanya, USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.
“USNO juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Pengerusi GRS serta semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini.
“USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi,” demikian menurut kenyataan itu malam tadi. – MalaysiaGazette
















