Asisten Komisioner Tan Seng Lee,

KULAI – Polis menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai memecah masuk pejabat guru di sebuah sekolah di Taman Putri di sini, 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, seorang guru membuat laporan polis berkenaan kejadian itu pukul 10.33 pagi hari sama.

“Kejadian disedari guru terbabit pukul 7.20 pagi apabila mendapati pintu pagar dan bilik pejabat rosak, manakala meja guru dalam keadaaan berselerak dan mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM200.

“Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melakukan tiga serbuan secara berasingan di Kulai, Seri Alam dan Johor Bahru pada kelmarin dan semalam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, hasil serbuan itu, empat lelaki berusia 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan dan semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai 19 hingga 24 rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati semua empat tahanan positif dadah jenis Methamphetamin dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin ini, bagi membantu siasatan.

Kes itu katanya, akan disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tambah Seng Lee, dengan kejayaan tangkapan empat suspek itu pihaknya percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah masuk pejabat sekolah serta kes kecurian kabel di daerah ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast