TANGKAP layar video tular memaparkan aksi dua penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jambatan Putra, Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menahan dua individu susulan video tular memaparkan aksi berbahaya mereka menunggang motosikal berkuasa tinggi di Jambatan Putra, Putrajaya semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan pantas diambil pada hari sama selepas mengesan rakaman yang dimuat naik di aplikasi Threads, sebelum kedua-dua individu terbabit berjaya ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

“Siasatan awal mendapati salah seorang penunggang, lelaki Melayu berusia 31 tahun, tampil ke Balai Trafik IPD Putrajaya dan mengaku sebagai pemilik salah sebuah motosikal terlibat.

“Dia turut mengesahkan kejadian berlaku pada 19 April lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, hasil siasatan turut mendapati, kumpulan berkenaan berada di lokasi tersebut untuk berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial, bukan semata-mata untuk tujuan perlumbaan.

Bagaimanapun, ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kejadian itu, yang dipercayai kali pertama berlaku di kawasan berhampiran Masjid Putra.

Bertindak atas risikan, katanya, pihak polis kemudian berjaya mengesan seorang lagi penunggang berusia 33 tahun.

“Kedua-dua suspek telah ditahan, manakala motosikal yang digunakan turut disita,” tegasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, kedua-dua suspek telah diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Sementara itu, tambahnya, polis kini sedang giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman tersebut.

Mohd Zamzuri menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast