MAKKAH – Kerajaan Arab Saudi memperketatkan semua pintu masuk ke Makkah termasuk di Masjidil Haram demi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah-jemaah haji, kata kata Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.
Disebabkan itu, setiap jemaah yang memasuki Tanah Haram atau Makkah perlu melalui pemeriksaan ketat di sekatan jalan raya dengan proses imbasan dan pengesahan dokumen oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Langkah tersebut penting bagi menjamin keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah, selain mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah ke Tanah Suci.
“Sekiranya Tanah Haram ini dibanjiri jemaah kemungkinan jumlah jemaah haji menjadi lebih besar. Contohnya mungkin boleh mencecah ataupun melebihi dua juta, ini akan memberikan kesulitan kepada Kerajaan Arab Saudi, juga jemaah-jemaah haji dari seluruh dunia.
“Jadi kita kena faham ini adalah satu tanggungjawab oleh Kerajaan Arab Saudi selaku Penjaga Dua Masjid Suci iaitu di Makkah dan juga Madinah,” katanya ketika ditemui selepas menyambut kumpulan pertama jemaah haji di Abraj Al Tayseer.

Ketibaan itu melibatkan 207 jemaah haji.
Tengku Mohd Dzaraif menambah, pihak berkuasa Arab Saudi turut mengingatkan individu yang tidak memiliki permit haji sah perlu meninggalkan Makkah sebelum 1 Zulqaedah.
Kegagalan mereka berbuat demikian boleh dikenakan denda tinggi, selain berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah dan hotel ke hotel untuk memastikan mereka yang berada di tanah haram adalah mereka yang benar-benar mempunyai permit haji yang sah.
“Alhamdulillah jemaah-jemaah dari Malaysia ini kita semua sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” ujarnya sambil menambah tiada peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi tetapi penguatkuasaannya lebih ketat.
“Contohnya bermula dari 1 Zulkaedah baru-baru ini, mereka yang tamat visa umrahnya harus meninggalkan Tanah Suci dan hari ini sebenarnya daripada minggu lepas yang dibenarkan untuk membuat umrah hanyalah rakyat Arab Saudi sendiri yang menetap di Makkah dan juga rakyat-rakyat daripada negara-negara Majlis Kerjasama Teluk sahaja.
“Jadi alhamdulillah, jemaah kita yang tiba hari ini, yang pertama tiba di Makkah mempunyai sedikit kelebihan iaitu kurang jemaah-jemaah lain yang berada di Tanah Haram jadi mereka boleh membuat umrah dengan lebih selesa, lebih cepat lagi. Insya Allah,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette
















