KUALA LUMPUR – Tindakan sayap pemuda DAP (DAPSY) untuk menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki esok, disifatkan sebagai satu lagi siri `drama’ politik yang didakwa cuba mengelirukan rakyat.
Ketua Pemuda MIC Perak, Theeageesh Ganesan, berkata langkah tersebut amat tidak logik memandangkan DAP merupakan blok terbesar dalam kerajaan ketika ini.
Menurutnya, dengan kekuatan 40 Ahli Parlimen, lima menteri dan tujuh timbalan menteri, tindakan turun ke jalanan untuk membantah ketua sebuah agensi kerajaan dilihat tidak masuk akal.
“Adalah sangat melucukan dan tidak masuk akal apabila sebuah parti yang merupakan blok terbesar dalam kerajaan, dengan kekuatan 40 orang Ahli Parlimen, 5 orang Menteri dan 7 orang Timbalan Menteri masih memilih untuk turun ke jalanan bagi menyatakan bantahan terhadap ketua sebuah agensi kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Theeageesh berkata, tindakan tersebut berbeza jika dilakukan oleh pembangkang, namun apabila melibatkan parti dalam kerajaan, ia menimbulkan persoalan besar terhadap peranan sebenar mereka.
“Jika parti pembangkang yang menganjurkan demonstrasi, itu adalah logik kerana mereka tiada akses kepada kuasa eksekutif. Namun, bagi DAP yang merupakan anggota utama Kerajaan Madani dan penyokong kuat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan ini menimbulkan tanda tanya besar: Adakah DAP sebenarnya tidak mempunyai suara atau kuasa di dalam kerajaan?” katanya lagi.
Tambah beliau, rakyat juga mahu tahu sama ada menteri-menteri daripada DAP bersuara dalam mesyuarat Kabinet mengenai isu pelanjutan jawatan Azam atau sekadar berdiam diri.
“Rakyat ingin tahu, adakah Menteri-menteri dari DAP hanya membisu di dalam mesyuarat Kabinet mengenai isu pelanjutan jawatan Tan Sri Azam Baki?
“Jika mereka benar-benar serius mahukan perubahan atau penjelasan, saluran yang betul adalah melalui meja rundingan kerajaan dan mesyuarat Jemaah Menteri, bukannya dengan membiarkan sayap pemuda mereka berlakon di jalan raya bagi meraih simpati penyokong,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar isu integriti dan institusi negara tidak dijadikan bahan politik bagi menutup kelemahan sendiri.
Dalam masa sama, beliau menggesa DAP supaya tidak `bermain dua kolam’ memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan, mereka bertanggungjawab atas setiap keputusan kolektif. Jangan di dalam Kabinet setuju, tetapi di luar berlagak seperti pembangkang,” tegasnya.
Semalam, Pemuda DAP dan Pemuda MCA dilaporkan turut mengumumkan penyertaan dalam himpunan Sabtu ini, menjadikan perhimpunan tersebut merentasi garis parti politik.
Perhimpunan dianjurkan beberapa kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar berkenaan bakal disertai bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Wong Chen dari PKR, serta bekas naib presiden parti itu, Tian Chua, dengan fokus utama menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. – MaalysiaGazette
















