Mohamad Rafi dan Mohammad Azlysyam didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

BUTTERWORTH – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kedai serbaneka di Bukit Mertajam, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Rafi Mohamad Haniba, 34, dan Mohammad Azlysyam Ayob, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan ke atas harta berupa dua peti wang, rokok pelbagai jenis dan wang tunai berjumlah RM800 milik seorang lelaki berusia 40 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pukul 6.20 pagi di sebuah kedai serbaneka di Taman Markisah, Bukit Mertajam, dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini pada 9 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tambahan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

ARTIKEL BERKAITAN:

Samun jadi ‘kerjaya’, dua penjenayah tegar direman 7 hari

MalaysiaGazette pada 13 April lalu melaporkan dua lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Bukit Mertajam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, dua suspek berkenaan yang memakai pelitup muka serta bersenjatakan spanar besi dilaporkan mengacukan senjata ke arah dua pekerja sebelum melarikan dua laci mesin juruwang yang mengandungi wang tunai dan beberapa kotak rokok.

Tiada kecederaan dilaporkan dan kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza sebelum berjaya ditahan polis di Jalan Icon City dan Kampung Manggis.

Difahamkan, kedua-dua suspek aktif dalam kegiatan samun serta mempunyai rekod lampau termasuk pernah menjalani hukuman penjara.

Selain itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut berdurasi 41 saat yang memaparkan dua lelaki melakukan kegiatan samun di sebuah kedai serbaneka turut tular. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast