Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

BUKIT MERTAJAM – Dua penjenayah tegar direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di sini, pada Khamis lalu.

Perintah reman terhadap dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 34 tahun yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, dengan diiringi anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) dalam keadaan tangan bergari serta memakai pakaian lokap berwarna ungu kira-kira jam 8.45 pagi.

Difahamkan pihak polis menerima laporan daripada pemilik premis yang memaklumkan dalam kejadian jam 6 pagi pada 9 April lalu, dua lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka, kopiah putih dan topi hitam serta bersenjatakan spanar besi bertindak mengacukan senjata ke arah dua pekerja yang berada di premis berkenaan.

Akibat ketakutan, kedua-dua pekerja terbabit melarikan diri ke bahagian belakang kedai sebelum suspek mengambil dua laci mesin juruwang yang mengandungi wang tunai hasil jualan serta beberapa kotak rokok.

Tangkap layar menunjukkan dua rakan itu melakukan kegiatan samun di sebuah kedai serbaneka di Bukit Mertajam di sini.

Difahamkan, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan semasa insiden tiada pelanggan lain.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Susulan itu, pihak polis berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek di Jalan Icon City dan Kampung Manggis dekat sini, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek ini aktif dalam kegiatan samun selain mempunyai rekod lampau termasuk pernah menjalani hukuman penjara.

Terdahulu tular rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 41 saat yang memaparkan dua lelaki melakukan kegiatan samun di sebuah kedai serbaneka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast