Anwar Ibrahim beramah mesra dengan jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan mengambil langkah drastik bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan situasi bekalan diesel negara yang semakin kritikal ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, antara langkah yang akan diambil termasuk kemungkinan mengehadkan pergerakan ahli Kabinet dan warga kementerian.

“Keputusan mengenai langkah pengehadan pergerakan itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara berkala.

“Langkah ini perlu diambil segera bagi mengelakkan Malaysia berhadapan dengan fasa catuan tenaga seperti yang berlaku di beberapa negara lain ketika ini susulan krisis bekalan global.

“Kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuklah amalan kerja dari rumah (BDR) dan langkah-langkah lain yang dirasakan perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Anwar melahirkan rasa syukur kerana setakat ini, negara masih mempunyai bekalan bahan bakar.

“Saya ingat (bekalan ada) sehingga penghujung bulan Jun. Tetapi diesel sudah mula hadapi masalah.

“Jadi sebab itu, kita kena ambil beberapa langkah dan akan diumumkan dari masa ke masa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, MTEN kini bersidang setiap dua hari sekali bersama-sama kementerian dan pihak berkaitan untuk memantau situasi bekalan tenaga negara secara dekat.

“Kerana langkah ini sudah kritikal. Kita tidak boleh tangguh lagi kerana sebarang kelewatan dalam mengambil tindakan bakal menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast