KUALA LUMPUR – Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) bersedia menyediakan bantuan guaman secara percuma (pro bono) kepada mana-mana individu sekiranya berlaku sebarang tangkapan semasa perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung esok.
Sekretariat GEGAR dalam satu kenyataan hari ini berkata, hak rakyat untuk berhimpun secara aman dijamin di bawah Perkara 10(1)(b), Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan hak kepada semua warganegara untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan undang-undang.
Menurutnya, perhimpunan aman di Malaysia turut dikawal selia melalui Akta Perhimpunan Aman 2012 [Akta 736], yang mengiktiraf hak rakyat untuk berhimpun secara aman serta menetapkan tanggungjawab penganjur dan peserta.
Katanya, sekiranya berlaku tangkapan, individu mempunyai hak di bawah Perkara 5(3), Perlembagaan Persekutuan untuk diberitahu sebab tangkapan dan dibenarkan berunding serta diwakili peguam pilihannya tanpa kelewatan munasabah.
Selain itu, jelasnya, di bawah Seksyen 28A Kanun Tatacara Jenayah, orang yang ditangkap berhak membuat panggilan kepada ahli keluarga atau peguam serta mendapatkan maklumat berhubung penahanan mereka.
“Pasukan guaman kami bersedia memberikan bantuan segera termasuk nasihat undang-undang, pemantauan kes, kehadiran di balai polis serta tindakan lanjut yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, GEGAR menyeru semua peserta Perhimpunan #TangkapAzamBaki supaya berhimpun secara aman, tertib dan mematuhi undang-undang.
Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa diseru menjalankan tugas secara profesional serta menghormati hak perlembagaan rakyat.
“Sekiranya memerlukan bantuan segera, sila hubungi: 013 8301506,” katanya.
Difahamkan, himpunan #TangkapAzamBaki akan diadakan pada pukul 3 petang esok, dengan peserta berkumpul di pekarangan pusat beli-belah Sogo hingga ke Dataran Merdeka. – MalaysiaGazette
















