Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kini dalam fasa memperhalusi dan menyemak semula Dasar Biobahan Api Negara bagi memastikan ia selari dengan hala tuju peralihan tenaga serta komitmen negara mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu berkata, langkah strategik itu bertujuan memperkukuh jaminan keselamatan tenaga Malaysia menerusi pemanfaatan sumber biojisim dan ekonomi kitaran, sekali gus memastikan produk biobahan api tempatan kekal kompetitif di peringkat global.

“Semakan itu juga adalah sebahagian daripada usaha mendepani cabaran perubahan iklim selain memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa yang semakin ketat.

“Kementerian komited memperkasa industri biobahan api melalui pendekatan holistik dan inovasi teknologi, bagi menjadikan sektor agrikomoditi sebagai pemacu utama kelestarian ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.

Mengulas mengenai status Program Biodiesel Negara, KPK memaklumkan, pelaksanaan pada peringkat B10 bagi sektor pengangkutan darat kini sedang diperluaskan secara berperingkat kepada adunan B20.

“Keyakinan terhadap peralihan B20 itu disokong oleh ketersediaan infrastruktur domestik yang kukuh melibatkan 19 loji pengeluaran biodiesel berlesen yang membekalkan Palm Methyl Ester (PME) ke 34 depot pengadunan di seluruh negara.

“Keupayaan loji tempatan menghasilkan biodiesel yang memenuhi standard kualiti antarabangsa mencerminkan kesiapsiagaan industri dan rantaian bekalan kita.

“Ini sekali gus mengukuhkan aspirasi di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030),” katanya.

Tambah kenyataan itu, selain penggunaan minyak sawit mentah (CPO), kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak (sludge palm oil) dan minyak masak terpakai (UCO).

“Inovasi itu bertujuan menghasilkan biobahan api seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME).

“Bagaimanapun, buat masa ini penghasilan biobahan api generasi kedua lebih tertumpu kepada pasaran eksport berikutan permintaan tinggi antarabangsa terhadap bahan api rendah karbon,” tambahnya.

KPK turut menegaskan akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pemain industri bagi memastikan setiap dasar yang digubal berpaksikan kepada analisis menyeluruh dan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast