Mohd. Tamrin Ibrahim, pemandu bas ekspres tular memandu dalam keadaan khayal dan positif dadah ketika membawa 15 penumpang awal pagi 15 April lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres tular memandu dalam keadaan khayal dan positif dadah ketika membawa 15 penumpang minggu lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Tamrin Ibrahim, 53, mengaku bersalah memandu bas dengan cara berbahaya dan berada dalam keadaan khayal dadah sebaik pertuduhan dan fakta kes dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah bas bernombor pendaftaran BSB4999 telah memandu kenderaan tersebut dengan cara yang berbahaya kepada orang awam.

Perbuatan itu dilakukan pada di Kilometer 196.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Persimpangan Ayer Keroh, dalam daerah Alor Gajah, Melaka, kira-kira pukul 3.50 pagi, 15 April 2026.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, tertuduh didapati memandu secara berbahaya dengan posisi duduk menyandar ke belakang serta hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan.

Tertuduh juga didapati berada dalam keadaan khayal dan ketika itu terdapat seramai 15 penumpang sekali gus membahayakan penumpang serta pengguna jalan raya lain.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menyerah diri dan ujian saringan air kencing menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.

Tindakaan itu turut dirakam oleh seorang penumpang sebelum tular di media sosial dan mendapat liputsan meluas masyarkat.


Mohd. Tamrin Ibrahim pemandu bas ekspres tular memandu dalam keadaan khayal dan positif dadah ketika membawa 15 penumpang awal pagi 15 April lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan hukuman berat sekurang-kurangnya penjara 12 bulan kerana kes berkenaan tular dan mendapat liputan meluas masyarakat.

Fakta kes juga hujahnya mendapati tertuduh berada dalam keadaan khayal membawa 15 penumpang dan ketika tertuduh menyerah diri ujian saringan air kencing juga disahkan positif dadah.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Kamariah Md Yusof dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana tertuduh merupakan seorang duda dan hanya bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM2,500 sebulan selain mengidap sakit asma.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 atau tambahan lima bulan penjara jika gagal bayar bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Tertuduh turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Pada 16 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu pemandu bas yang tular videonya memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan khayal ketika perbuatannya itu dipercayai dirakamkan penumpang bas berkenaan.

Rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, hasil keputusan ujian air kencing lelaki itu mendapati positif syabu dan mengaku mengambil dadah berkenaan sebelum memulakan pemanduan.

Bas ekspres berkenaan ketika itu sedang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast