KUALA LUMPUR – Cadangan menukar Dewan Komuniti Kampung Perwira Jaya di Ampang kepada pusat kitar semula mencetuskan bantahan keras dalam kalangan penduduk.
Mereka mendakwa keputusan itu dibuat tanpa rundingan serta menjejaskan hak komuniti setempat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Perwira Jaya, Fazlee Ismail berkata, penduduk mendakwa mereka terkejut apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bercadang menukar fungsi dewan berkenaan kepada pusat kitar semula atas alasan kurang penggunaan.

“Alasan bahawa dewan kurang digunakan adalah mengelirukan. Isu sebenar ialah kelemahan pengurusan yang sepatutnya diperbaiki, bukan dijadikan alasan untuk menukar fungsi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama para penduduk yang membantah untuk menjadikan Dewan MPKJ Kampung Perwira Jaya sebagai pusat kitar semula di Menara MPAJ Pandan Indah hari ini.
Fazlee seterusnya mendakwa keputusan itu juga dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama penduduk.
Pihaknya menolak cadangan tersebut kerana tidak munasabah serta membelakangkan suara rakyat.
“Cadangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan jelas membelakangi suara rakyat,” tegasnya.
Tambah beliau, tindakan MPAJ itu bukan sahaja mencabuli tujuan asal pembinaan dewan malah merampas hak penduduk terhadap kemudahan awam.
Penduduk turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jika pusat kitar semula dibina di kawasan berkenaan.
“Ia akan mendedahkan penduduk kepada risiko pencemaran, bau dan gangguan persekitaran,” ujarnya.
Fazlee turut memberi amaran bahawa penduduk tidak akan berdiam diri sekiranya tuntutan mereka tidak diendahkan.
“Sekiranya tuntutan ini diabaikan, penduduk tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut bagi mempertahankan hak komuniti,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad, pembinaan dewan tersebut bermula selepas diluluskan pada tahun 2018 hasil tuntutan penduduk yang memerlukan kemudahan awam.

“Dewan ini bukan projek ‘terbiar’ untuk ditukar sesuka hati. Ia dibina hasil tuntutan penduduk, diluluskan sejak 2018 dan dirasmikan pada 2023 sebagai kemudahan utama komuniti,” katanya yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut Iskandar, dewan itu kemudiannya siap dan mula digunakan pada tahun 2023 bagi pelbagai aktiviti termasuk majlis, program kemasyarakatan dan kegiatan keagamaan.- MalaysiaGazette















