PENGERANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap seorang peniaga atas tuduhan menjual produk tembakau di bawah harga yang ditetapkan oleh kerajaan, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Zaidi Ani, 50, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Difahamkan, tertuduh sudah menjelaskan bayaran denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjual produk tembakau jenama Misto pada harga yang tidak mengikut ketetapan di sebuah kedai dekat Jalan Hj Abu Bakar, Sungai Rengit di sini pukul 2.05 petang, 22 Julai 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Subperaturan 9(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.
Tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Mohamad Fisol Abdullah.
Berdasarkan fakta kes, ketika hari kejadian, seorang pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 bersama-sama rakan setugas menjalankan operasi penguatkuasaan akta itu di premis kedai berkenaan.
Difahamkan, ketika penguatkuasaan dijalankan, mereka mendapati pemilik premis itu menjual sepaket rokok jenama Misto dengan harga RM6 kepada seorang pelanggan.
Di bawah Seksyen 14(4) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024, tiada seorang pun boleh menjual apa-apa produk tembakau yang tidak mengikut harga yang ditetapkan iaitu semua paket rokok hendaklah dijual pada harga minimum RM12 setiap paket.
Pada masa sama, JKNJ melalui Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan penjualan produk merokok demi menjamin kelestarian kesihatan awam di negara ini.- MalaysiaGazette
















