Premis makanan sejuk beku disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah di Kawasan Perindustrian Selaran, Skudai, Johor.

KUALA LUMPUR – Polis menyerbu sebuah premis makanan sejuk beku selepas disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah di Kawasan Perindustrian Selaran, Skudai, Johor, hari ini.

Serbuan melalui Op Taring Chiller pada jam 10.30 pagi itu, dijalankan oleh sepasukan pegawai Cawangan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Veterinar.

Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi bersepadu itu melibatkan pegawai dari Veterinar Putrajaya dan Johor dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM63,486.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebanyak 22 karkas daging babi sejuk beku dengan anggaran berat 1,058.1 kilogram (kg) yang mempunyai dokumen penyembelihan meragukan.

“Kesemua daging itu disyaki tidak disembelih di rumah sembelihan yang diluluskan atau dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara tujuh individu ditahan di sebuah premis makanan sejuk beku disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah di, Skudai, Johor, hari ini.

Tambah Mohd Zaki, dalam operasi itu pihaknya turut menahan tujuh individu termasuk enam lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.

“Kesemua warga Nepal itu ditahan atas kesalahan menyalahgunakan atau melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pemilik premis pula ditahan kerana menggajikan pekerja asing dan akan diambil tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

“Bagi kes berkaitan pelanggaran peraturan penyembelihan pula diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar mengikut peruntukan sedia ada,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast