Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa supaya menyiasat satu rakaman tular mengandungi dakwaan serius oleh individu dikenali sebagai Sofia Rini membabitkan dakwaan salahlaku melibatkan bekas pegawai Perdana Menteri, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut beliau, video berkenaan mengandungi beberapa dakwaan utama termasuk tuduhan wang yang didakwa dicuri oleh bekas pegawai berkenaan telah dibawa ke Afrika untuk disimpan selain dakwaan bahawa tindakan tersebut dilakukan atas arahan Perdana Menteri sendiri.

Tambahnya, Sofia juga mendakwa Perdana Menteri akan melarikan diri ke Afrika atau Turki sekiranya berlaku sesuatu dalam negara serta mendakwa bekas pegawai yang dinamakan mempunyai kekayaan mencecah berbilion ringgit.

“Jika dakwaan tersebut benar, ia menggambarkan wujudnya apa yang disifatkan sebagai ‘rejim kleptokrat madani’ yang lebih buruk berbanding pentadbiran sebelum ini,” dakwanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) segera membuka kertas siasatan jenayah secara menyeluruh termasuk meneliti dakwaan aliran wang ke luar negara.

“Manakala, sebuah RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) perlu ditubuhkan bagi menyiasat semua dakwaan secara bebas tanpa imuniti politik kepada mana-mana individu termasuk PM10,” ujarnya.

Beliau turut menggesa, Perdana Menteri dan bekas pegawai yang dinamakan seperti Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk memberi kerjasama penuh bagi membolehkan siasatan telus dijalankan serta membersihkan nama masing-masing melalui proses undang-undang.

Pada masa sama, Tun Faisal turut mempersoalkan tindakan Meta yang didakwa memadam video Sofia Rini di Facebook, dengan menyifatkan ia menimbulkan tanda tanya mengenai pihak yang mempunyai kuasa di sebalik tindakan tersebut serta kemungkinan wujud usaha menyembunyikan sesuatu perkara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast