Benih udang karang yang dirampas.

KOTA TINGGI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 671,600 benih udang karang bernilai RM13.4 juta yang cuba diseludup ke Singapura melalui jalan laut di Tanjung Belungkor di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, rampasan dibuat pada pukul 6.30 petang membabitkan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin Johor dengan kerjasama Jabatan Perikanan Johor.

“Bertindak atas maklumat, pemeriksaan dibuat ke atas sebuah lori jenis Isuzu di sebuah jeti haram dan menemukan benih udang karang disimpan dalam kotak gabus putih.

“Pemeriksaan menemukan 125 kotak gabus putih mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi benih udang karang dianggarkan berjumlah 671,600 ekor.

“Kesemua benih udang karang ini dipercayai untuk diseludup keluar ke Singapura melalui jalan laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga pekerja lelaki tempatan berusia 31 hingga 57 tahun turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran mengeksport yang sah.

Katanya, tangkapan dan barang rampasan termasuk lori dibawa ke pejabat Jabatan Perikanan Johor untuk tindakan lanjut.

PPM Wilayah Dua katanya, akan terus membanteras dan memastikan kegiatan penyeludupan mengimport ke dalam atau mengeksport ke luar benih udang karang kerana akan menyebabkan kerugian kepada masyarakat dan negara.

“Masyarakat juga digesa agar terus menyalurkan maklumat tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Perikanan 1985.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast