Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, ketika hadir pada Himpunan Tangkap Azam Baki di Sogo menuju Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Himpunan Tangkap Azam Baki hari ini melakar sejarah apabila banyak parti politik mengambil bahagian untuk menyatakan bantahan terhadap salah laku rasuah melibatkan kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, bagaimanapun hanya satu parti politik yang tidak menghantar wakilnya iaitu UMNO.

“Saya harap tidak kira daripada mana-mana parti politik pun dan hari ini ada perkembangan baik kerana saya rasa hanya UMNO yang tak ada, semua parti lain sebenarnya ada pada hari ini.

“Pimpinan mereka ada, wakil mereka ada, jadi itu satu lembaran yang baharu kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita seusainya Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Sebahagian peserta yang berarak ketika Himpunan Tangkap Azam Baki di Sogo menuju Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2026

Dalam pada itu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, isu pemilikan jutaan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki melambangkan kebimbangan besar rakyat terhadap isu integriti dan kebebasan institusi kerajaan seperti SPRM.

“Saya memilih untuk menyerahkan kepada golongan muda, kerana lebih baik mereka mengambil ruang memimpin dan biarlah yang tua-tua ini mengikuti kerana isu rasuah ini tidak akan selesai sampai bila-bila.

“Jadi tanggungjawab masyarakat untuk kita terus bersuara dan menekan, kerana dalam sejarah kita dalam Malaysia ini perubahan itu tidak pernah berlaku daripada koridor kuasa di Putrajaya.

“Kuasa tidak pernah memulakan perubahan, bermakna dalam sejarah kita, semua perubahan besar dicapai bermula di jalanan dengan suara daripada sekelompok orang kecil yang akhirnya mendapat resonans dengan seluruh kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, ditarik keluar oleh anggota polis sehingga mencetuskan kekecohan semasa Himpunan Tangkap Azam Baki di Sogo menuju Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2026.

Bekas Menteri Ekonomi itu juga berkata, ini kerana suara kuat yang memaksa pemerintah dan pemerintah politik tidak mempunyai pilihan tetapi perlu mengikuti suara kebanyakan.

“Saya harap fenomena yang bermula beberapa bulan lalu dan bersambung pada hari ini akan berterusan supaya isu yang menuntut kebebasan institusi kerajaan baik SPRM kepada PDRM akan terus dibawa anak-anak muda dan kami yang tua-tua.

“Bila kita serahkan kepada anak-anak muda yang tidak berparti untuk mereka membawa isu tertentu, biarlah parti-parti politik, ahli-ahli Parlimen dan pimpinan membuat keputusan sama ada mereka akan bersama-sama menyokong ataupun tidak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast