Anwar berucap pada majlis ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Batu Kawan hari ini.

BATU KAWAN – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan diesel sebagai langkah meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos bahan api.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencari jalan bagi melaksanakan pengurangan cukai jalan kenderaan diesel dalam tempoh terdekat.

“Saya minta dengan Menteri Pengangkutan cari jalan… supaya dalam tempoh terdekat turunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel. Itu boleh,” katanya ketika berucap pada majlis ulang tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.

Anwar berkata, ketika ini, kerajaan berdepan kekangan untuk menurunkan harga diesel secara langsung selain beban subsidi kira-kira RM7 bilion sebulan.

“Ini merupakan beban tambahan yang perlu ditanggung kerajaan kerana ia melibatkan dana awam, iaitu wang pembayar cukai dan mesti diurus dengan teliti.

“Kerajaan juga mengekalkan pendekatan subsidi bersasar bagi petrol RON95 jadi turun minyak (diesel) sekarang ini tak mampu, tapi cukai jalan itu boleh,” katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa jumlah kenderaan diesel di negara ini adalah sekitar 1.8 juta dan kerajaan komited mencari pendekatan terbaik bagi mengimbangi keperluan fiskal negara serta kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast