KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu sebagai langkah penting dalam memperkukuh institusi pencegahan rasuah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ia khususnya dalam keadaan semasa yang menuntut integriti, ketelusan dan keberanian institusi.

Menurutnya, latar belakang Abdul Halim sebagai bekas Hakim Mahkamah Tinggi dengan pengalaman luas dalam sistem kehakiman memberi asas kukuh untuk memperkasakan SPRM dengan pendekatan berteraskan kedaulatan undang-undang.
Namun, ujar beliau, MCW menegaskan bahawa pelantikan itu adalah ujian kepada sistem negara, bukan sekadar individu.
Tambahnya, keyakinan rakyat hanya akan pulih sekiranya kepimpinan baharu SPRM mampu bertindak tegas terhadap kes berprofil tinggi tanpa pilih kasih dan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam siasatan.
Selain itu, katanya, sekiranya kepimpinan baharu mampu memperkukuh integriti dalaman SPRM serta menyokong reformasi struktur termasuk pemisahan siasatan dan pendakwaan.
“Cabaran utama termasuk tekanan politik, persepsi pendakwaan terpilih dan keperluan mengubah budaya dalaman organisasi.
“MCW percaya pelantikan ini berpotensi menjadi titik perubahan, namun kejayaan hanya dapat diukur melalui tindakan berani dan konsisten, bukan sekadar perubahan kepimpinan.
“Jika prinsip integriti ditegakkan, keyakinan rakyat akan kembali.
“Jika tidak, ia hanya akan dilihat sebagai pertukaran wajah tanpa reformasi sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan Abdul Halim itu sekali gus menggantikan Tan Sri Azam Baki yang akan tamat tempoh perkhidmatan beliau pada 12 Mei depan. – MalaysiaGazette















