Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan mengenai sebarang keputusan sama ada untuk menyertai mahupun menubuhkan parti baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Jun ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan politik yang bakal diambil akan memberi kesan kepada rakan-rakan politik baik di peringkat Parlimen mahupun cabang dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita mungkin keluar atau masuk parti atau tidak, itu proses yang saya sudah berjanji dengan kawan-kawan supaya saya ambil masa sehingga Jun untuk saya tanya dan bincang dengan kawan-kawan.

“Jadi kita tunggu sehingga Jun ini,” katanya kepada pemberita seusai Himpunan Tangkap Azam Baki, di sini, hari ini.

Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, sebarang keputusan yang dibuat perlu mengambil kira semua pandangan termasuk rakan-rakannya dalam parti politik dan ahli Parlimen.

“Saya rasa apa pun itu, saya katakan Jun, sebab sebarang keputusan saya ialah bukan keputusan saya semata-mata.

“Keputusan politik saya itu akan ada kesan kepada ramai kawan-kawan daripada peringkat ahli Parlimen, daripada cabang-cabang, ia sesuatu yang kita perlu nilai bersama,” katanya.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menambah, keputusan politik yang bakal dibuatnya tidak bermatlamatkan kepada kuasa semata-mata kerana pengalaman dua tahunnya di Putrajaya tidak memberi sebarang makna.

“Kuasa bukan matlamat saya dan beberapa kawan-kawan lain, matlamat kami hanya nak melihat perubahan, kami nak tengok sistem yang lebih baik.

“Ini bukan soal kuasa, saya pun sudah berada di Putrajaya. Jadi menteri bukan masalah besar.

“Jadi keputusan untuk buat parti itu perlulah diteliti macam mana cara terbaik untuk kita memastikan suara perubahan itu boleh terus dibawa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast