MELAKA – Pas menyifatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sekadar lantang bersuara menyerang DAP namun hakikatnya hanyalah ‘budak catur’ presiden parti itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana akhirnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan parti itu tetap akan bekerjasama dengan DAP.
“Akmal bukan kuat, dia hanya suara deras (lantang) sahaja. Nampak cengey (garang) tetapi sebenarnya jadi budak catur kepada Zahid Hamidi.
“Bos dia Khairy Jamaluddin. Khairy tak tahu nak pergi mana, akhirnya masuk UMNO balik, dia kata nak mai (datang) Kedah, saya kata mai, mai, mai,” katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Melaka di Bukit Katil di sini malam tadi.
Dalam ucapannya itu, beliau turut meminta rakyat supaya tidak percaya dengan naratif ‘wayang politik’ yang dibawa UMNO kononnya tidak akan bersama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“…saya tahu depa (UMNO-DAP) ada kira-kira. Naratif yang sedang dibawa UMNO di (PRN) Melaka ini, mereka tak pakat dengan DAP (sedangkan) di belakang depa akan ada pakatan.
“Dia (UMNO) kata dia nak tanding semua (kerusi), bohong…mana ada hari (mungkin) nak tanding semua, nak hilang deposit empat kerusi (kubu kuat DAP) itu?
“Apa jadi sekali pun dia (UMNO) akan tunjukkan nak berpisah dengan DAP di Melaka ini…(tapi) lepas pilihan raya, mereka bercium mulut (bergabung),” katanya lagi.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 28 DUN.
Menurutnya, sebanyak 24 kerusi dilihat tidak terlalu sukar untuk ditandingi, manakala empat lagi dikategorikan sebagai mencabar.
“Kita ada 28 DUN. Empat DUN itu kira-kira sukar, tetapi 24 lagi tidak susah. Barisan (Nasional) boleh menang di 21 DUN, namun PAS juga berupaya merampas kembali kerusi-kerusi tersebut.
“Tak mustahil tak susah, kita nak minimum 15 kerusi, kalau boleh pergi (menang) sampai 21 kerusi Alhamdulillah. Di mana UMNO bertanding, kita boleh masuk dan ada peluang untuk menang,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

















Ternyata DAP mampu menengahkan pemimpin2 yg mampu mentadbir negara dengan baik. Dan gabungan kerajaan Madani kini adalah kerajaan yg terbaik untuk rakyat dan negara Malaysia.