SHAH ALAM – Komponen Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan bukan mudah untuk mana-mana parti termasuk parti yang ingin ditubuhkan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin menyertai gabungan berkenaan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi PN untuk membuat apa-apa keputusan mengenai permohonan daripada bekas timbalannya itu.
“Kalau dia (parti Hamzah Zainudin) nak mohon masuk PN itu hak dia. Tapi sama ada Majlis Tertinggi PN akan pertimbang dan luluskan itu soal lain.
“Ada asas dan prinsip yang kita kena guna pakai,” katanya.
Muhyiddin menjawab pertanyaan media sama ada beliau sebagai Timbalan Pengerusi PN akan meluluskan permohonan parti Hamzah sekiranya pihak berkenaan ingi menyertai PN dalam sidang media selepas perasmian Konvensyen Bersatu Selangor di Shah Alam hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun berkata, tidak mudah untuk PN menerima parti baru untuk menyertai gabungan tersebut dan perlu melalui mengikut prosedur selain mengambil masa yang lama.
“Sebelum daripada ini ada parti yang sudah lama berdaftar, Pejuang, Berjasa, mereka dah mohon, Putra pun dah mohon.
“Yang itu dah lama establish tapi belum ada keputusan lagi dibuat kerana majlis tertinggi belum pertimbangkan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Hamzah dijangka mengumumkan ‘parti baharu’ beliau bulan depan yang didakwa mempunyai keahlian mencecah ratusan ribu orang.
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, setakat ini perinciannya masih belum dapat didedahkan kerana nama rasmi entiti berkenaan belum dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu bercadang untuk mengekalkan jumlah kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pendirian itu jelas Muhyiddin diambil setelah mengambil kira susunan kerusi yang telah dipersetujui dalam pilihan raya lalu.
“Kita akan bincang dan boleh umumkan kemudian. Pada pilihan raya lalu di Melaka, kita sudah ada susunan kerusi yang telah dipersetujui.
“Jadi kalau ikut pandangan kita, kerusi itu kekal sebegitu kecuali jika ada cadangan lain yang perlu dibawa ke Majlis Tertinggi PN,” katanya dalam sidang media sama.
Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan parti itu akan meletakkan calon di lebih 15 kerusi DUN di Melaka pada PRN akan datang.
Beliau berkata, angka itu dianggap realistik berdasarkan kemenangan dua kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Jasin dan Tangga Batu.
Untuk rekod, gabungan itu bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka sebelum ini dengan Bersatu sebanyak 15 kerusi, Pas (lapan) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula lima kerusi. – MalaysiaGazette
















