Shahrin Awaluddin menunjukkan Whatsapp Live Chat e-TAIB yang dibangunkan khusus untuk jemaah haji.

MAKKAH – Jemaah haji kini boleh mendapatkan jawapan segera mengenai sebarang pertanyaan dan permasalahan berkaitan ibadah di Tanah Suci dengan melayari platform e-TAIB Live Chat menerusi aplikasi WhatsApp.

Platform dalam aplikasi THhujjaj ini disokong kecerdasan buatan (AI) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang beroperasi 24 jam.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji, Shahrin Awaluddin berkata, platform ini berfungsi menjawab pelbagai persoalan berkaitan ibadah berdasarkan garis panduan hukum-hakam serta resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji (TH).

Menurutnya, setiap persoalan yang dikemukakan oleh jemaah haji akan dijawab oleh AI terlebih dahulu mengikut bahan rujukan rasmi TH yang telah disahkan oleh pakar-pakar haji.

Namun, seandainya sistem ini tidak mendapat jawapan tepat dan penjelasan lanjut, para petugas Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) akan mengambil alih menjawab terus kepada jemaah.

“Alhamdulillah sejak hari pertama pelaksanaannya, sistem ini sudah menerima kira-kira 300 pertanyaan,” katanya kepada media di sini.

Menyifatkan sambutan ini cukup baik, Shahrin berkata, kebanyakan pertanyaan yang diterima adalah berkaitan perkara-perkara yang meragukan jemaah.

Antara soalan yang kerap ditanya adalah berkaitan fiqh wanita, larangan ihram, memakai wanigan dan isu rambut gugur.

“Mereka sebenarnya sudah memahami hukum asas tetapi mahu mendapat pengesahan.

“Sistem e-TAIB ini memudahkan mereka bertanya dan mendapat jawapan segera,” tambah beliau lagi.

Lantaran itu, beliau menggalakkan jemaah haji menggunakan e-TAIB kerana sistem ini dibangunkan untuk keperluan jemaah Malaysia.

“Dan paling penting sistem ini membolehkan jemaah bertanya apa sahaja kemusykilan, sekali gus membolehkan mereka beribadah dengan betul,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast