KUALA LUMPUR – Exco Selangor, Ng Sze Han mengecam sekeras-kerasnya hantaran media sosial yang menyunting gambar khinzir mengenakan pakaian istiadat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau berkata, menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang merupakan sikap tidak beradab dan melanggar norma serta tata susila rakyat Malaysia.
Menurut beliau yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, tindakan itu bahkan satu cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau kepada negara berbilang bangsa.
“Saya menyeru polis untuk mengambil tindakan segera supaya pesalah ini dapat dihukum dengan hukuman yang berat berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataannya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Sze Han mengajak orang ramai mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau gambaran yang menghina dan menjatuhkan maruah mana-mana pihak.
Beliau mengingatkan kata-kata atau gambaran sedemikian berupaya memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat.
Pada 10 Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.
Lantaran kontroversi menyusuli kenyataan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung penternakan babi secara moden, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyangkal tuduhan bahawa partinya tidak menghormati institusi diraja. – MalaysiaGazette















