JOHOR BAHRU – Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki semalam yang berlangsung dengan aman dan terkawal mempamerkan wajah reformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, perkembangan itu membuktikan zaman Kerajaan Madani bukan zaman kuku besi dan tidak sesekali akan menzalimi rakyat.
“Sekarang bukan lagi zaman kerajaan mengarahkan anggota penguasa melempar gas pemedih mata, mengatok dan menendang peserta himpunan.
“Kita menyaksikan himpunan Tangkap Azam Baki berlangsung dengan aman dan terkawal. Begitu juga dengan banyak himpunan lain sebelum ini misalnya himpunan Turun Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak boleh berhimpun, mengkritik dan bersuara sebanyak mana pun asalkan tidak melemparkan fitnah, tidak mencetuskan huru-hara, tidak bermain sentimen kaum dan agama serta tidak menghasut kebencian yang boleh merosakkan keharmonian negara.
“Insha-Allah ruang demokrasi akan terus subur di zaman Madani. Saya yakin PMX akan sentiasa menjamin hak kebebasan bersuara, kebebasan mengkritik dan hak menyatakan pandangan.
“Ini selagi ia dibuat secara bertanggungjawab serta mengikut lunas undang-undang,” ujar Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pulai itu.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menjaga keselamatan peserta himpunan, orang awam serta kelancaran lalu lintas.
Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo di ibu negara semalam berlangsung aman sebelum bertukar kecoh dan berlaku insiden tolak-menolak selepas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ditarik keluar sepasukan polis secara tiba-tiba di persimpangan Jalan Tun Perak.
Insiden itu berlaku seusai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz menyampaikan ucapan pada himpunan itu sebelum bekas Menteri Ekonomi itu diiring sepasukan polis keluar daripada ratusan peserta yang hadir.
Insiden itu menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati puluhan penyokong bekas Timbalan Presiden PKR itu sambil mengancam untuk menimbulkan provokasi sekiranya Rafizi ditahan pihak polis.- MalaysiaGazette
















