Rashifa bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

KUALA LUMPUR – Insiden baling mercun ke arah peserta dalam Himpunan Tangkap Azam Baki di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam mencetuskan kebimbangan serius apabila letupan berlaku kira-kira lima kaki dari kumpulan peserta.

Ia sekali gus mengancam keselamatan awam termasuk orang ramai di kawasan berhampiran.

Menurut Timbalan Bendahari Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA, Rashifa Aljunied, kejadian itu berlaku pada awal perhimpunan apabila mercun dibaling dari pelbagai arah termasuk kanan, kiri, depan dan belakang malah turut mengenai orang awam yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Beliau menegaskan, tindakan itu adalah berbahaya dan tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mencederakan serta meragut nyawa selain menyifatkannya sebagai ancaman sebenar terhadap keselamatan dalam ruang protes awam.

“Ruang protes sepatutnya menjadi platform rakyat menyuarakan pandangan dan menuntut kebenaran bukannya tempat berlakunya provokasi ganas atau intimidasi,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengemukakan tiga tuntutan utama susulan insiden berkenaan iaitu memastikan protes dijalankan dalam keadaan selamat tanpa unsur keganasan, mendesak pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh serta menuntut tindakan terhadap Tan Sri Azam Baki bagi memastikan akauntabiliti ditegakkan.

Tambahnya, kegagalan bertindak tegas terhadap insiden seperti ini boleh membuka ruang kepada kejadian lebih serius pada masa depan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kejadian sedemikian boleh menakutkan rakyat daripada terus bersuara, sekali gus menjejaskan hak demokratik.

“Hooliganisme tidak ada tempat dalam protes dan politik. Kita tidak boleh membiarkan budaya samseng menguasai ruang awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast