Gambar hiasan

KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berjaya mematahkan dua cubaan penyelewengan diesel menerusi Ops Statik dalam dua kes berasingan di sekitar bandar raya Kuching, semalam.

Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata dalam kes pertama kira-kira jam 2 petang semalam, sebuah kenderaan serba guna Nissan Frontier dikesan dalam keadaan mencurigakan, yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dan membawa barang kawalan iaitu diesel bagi tujuan penyelewengan.

“Turut ditemukan 160 liter minyak diesel bernilai RM344 bersama 16 tong jerry can serta beberapa dokumen berkaitan pembelian diesel dan antara barangan disita termasuk kenderaan tersebut, kunci kenderaan, tong simpanan diesel serta resit pembelian dan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20,854,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Manakala bagi kes kedua, beliau berkata pada sekitar jam 8 malam di lokasi sama, sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sorento yang dipercayai digunakan sebagai medium untuk menyimpan bekalan diesel secara tidak sah, telah diperiksa.

“Pemeriksaan menemukan anggaran awal 600 liter disyaki minyak diesel bernilai RM1,290, sebuah pam elektrik 12V, serta dua unit hos kecil yang dipercayai digunakan untuk pemindahan bahan api.

“Kia Sorento itu turut disita, kunci kenderaan dan peralatan berkaitan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM31,540,” katanya menambah kedua-dua kes disiasat di bawah Ops 555 mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast