JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor akan menggerakkan kempen secara besar-besaran bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO melalui kaedah pendaftaran secara dalam talian.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, setiap bahagian di seluruh Johor turut diseru untuk menganjurkan majlis khas bagi meraikan kehadiran ahli-ahli baharu.
“Ini sebagai usaha memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Ketua Pemuda UMNO Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di Jalan Yahya Awal di sini semalam.
Selain itu, Pemuda UMNO Johor menyambut baik pelaksanaan gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO yang berjaya membawa kembali 6,252 pemimpin pelbagai peringkat ke dalam parti, sekali gus memperkukuh kekuatan organisasi.
Pihaknya turut mengalu-alukan peningkatan pendaftaran ahli baharu melalui sistem pendaftaran secara atas talian yang mencerminkan keyakinan gerasi muda terhadap perjuangan parti, dengan pertambahan ahli baharu pemuda sebagai paling ketara.- MalaysiaGazette
















