Sopiah Awang (kiri) dan Rafidah Ishak.

MAKKAH – “Nenek tunggu pergi haji sejak anak dah besar lagi. Rupa-rupanya bila cucu sudah besar baru Allah panggil datang sini. Alhamdulillah,” kata Rafidah Ishak dari Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah.

Warga emas berusia 77 tahun ini antara jemaah haji Malaysia yang sudah berada di Makkah.

Berkongsi penantiannya untuk menjadi sebahagian duyufurrahman pada musim haji tahun ini, Rafidah berkata, menjelang beberapa sebelum berlepas ke Madinah pada 11 April lalu, dia mengalami demam sejuk.

Demam itu menyebabkan satu badannya terketar-ketar, sebelum diserang batuk pula.

“Nenek bimbang sangat bila kena demam sejuk, kaki terketar-ketar nak jalan. Dalam hati cakap pada Allah, cepatlah kebah sebab nak pergi haji.

“Takut kalau sakit tunda pula (laksana haji), bukan senang nak tunggu lagi,” katanya yang masih batuk ketika ditemui di Maktab 63, Al Tayseer Towers Hotel.

Rafidah berkata, dalam kesyukurannya, dia sangat berharap agar Allah memberikannya kekuatan mengerjakan haji dan menyelesaikan dengan sempurna.

Sementara itu, besan Rafidah, Sopiah Awang, 77, turut menzahirkan rasa syukur kerana beliau selamat tiba di Makkah untuk menunaikan ibadah haji dan menyempurnakan rukun Islam kelima diimpikan sekian lama.

Katanya, hatinya sebak selepas kakinya melangkah keluar dari bas.

Menurut beliau, meskipun pernah menunaikan umrah sebelum ini, tetapi tidak lengkap selagi belum menunaikan ibadah haji.

“Saya pernah terima tiga kali tawaran daripada Lembaga Tabung Haji, tetapi setiap kali itu ada sahaja halangan seperti patah kaki dan putus jari tangan.

“Bila dimaklumkan sudah memasuki Makkah, rasa sebak sangat, sampai dada terasa berat,” katanya ketika ditemui.

Sopiah yang kehilangan suami lima tahun lalu turut meluahkan rasa syukur kerana ditemani anak sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya dah berusia, lutut pun tidak kuat, tapi syukur anak sudi menemani,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast