Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng bergambar bersama tetamu kehormat yang hadir ke Majlis Jamuan Apresiasi Kerajaan-Komuniti Perniagaan di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi sekadar pilihan kedua sebaliknya telah berkembang menjadi enjin utama dan nadi kepada pertumbuhan ekonomi masa hadapan negara.

​Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, transformasi besar dalam sektor pendidikan negara kini menyaksikan lebih separuh daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET sebagai kerjaya strategik.

Menurutnya, pencapaian membanggakan apabila kadar kebolehpasaran graduan TVET kini sangat luar biasa iaitu mencecah sehingga 95 peratus sekali gus membuktikan industri amat mendahagakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

​”Ini bukan kebetulan. Kemahiran adalah mata wang baharu (skills are the new currency). Ketika saya diberi mandat menerajui TVET negara, asalnya ada 1,395 pusat namun kini angka itu telah melonjak melebihi 5,000 pusat TVET di seluruh negara.

​”Kejayaan ini tidak boleh dipikul kerajaan sendirian. Industri mesti menjadi rakan pembina bakat dengan memastikan kurikulum dibentuk bersama, latihan membawa kepada pekerjaan sebenar dan teknologi terkini menjadi asas pembelajaran,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Jamuan Apresiasi Kerajaan-Komuniti Perniagaan di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 26 APRIL 2026.

​Beliau berkata demikian pada sesi ucaptama Jamuan Apresiasi Kerajaan – Komuniti Perniagaan bersama Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu segera beralih daripada model lama kepada ekonomi berasaskan produktiviti tinggi bagi mendepani tekanan kos global yang semakin tidak menentu.

“Cara lama tidak akan mampu memenangi peperangan ekonomi baharu yang penuh dengan ketidaktentuan harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan.

​“Kita tidak boleh selama-lamanya melawan kos yang meningkat. Jalan penyelesaiannya adalah kita mesti mengatasi kos tersebut dengan produktiviti melalui automasi, pendigitalan dan inovasi.

​“Syarikat yang bakal mendominasi masa hadapan bukanlah syarikat yang paling besar, tetapi syarikat yang paling efisien, tangkas dan berani melakukan anjakan paradigma,” jelasnya lagi.

​Beliau turut mengingatkan kerajaan kecekapan penyampaian adalah kunci utama bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

​”Pelabur tidak pergi ke tempat yang menawarkan insentif paling tinggi semata-mata, tetapi mereka akan pergi ke mana keyakinan itu paling kuat.

​”Kita mahu Malaysia menjadi destinasi pilihan, bukan secara default tetapi kerana keyakinan terhadap sistem kita yang pantas, telus dan responsif,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut menyeru komuniti perniagaan dan kerajaan untuk terus bergerak sebagai satu Ekosistem Nasional yang saling melengkapi bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di pentas dunia.

​”Kerajaan boleh merangka dasar tetapi industri membawa realiti pelaksanaan.

“Kita tidak boleh lagi bergerak secara berasingan. Kita berjaya bersama atau kita akan ketinggalan bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast