Sidang akhbar khas ADUN UMNO Negeri Sembilan pagi ini.

SEREMBAN – Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.

“Krisis yang berlaku ini dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media khas pagi ini.

Menurutnya, kepimpinan negeri sewajarnya bertindak dengan kebijaksanaan dalam mendepani situasi semasa bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terus terhakis.

“Sehubungan itu, kesemua 14 Adun UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau,” katanya lagi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri secara keseluruhan.

Jalaluddin menegaskan, pihaknya kekal komited mempertahankan institusi adat, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai asas pentadbiran.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri serta memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi.

“Kita mahukan kerajaan yang stabil supaya pentadbiran negeri dapat berjalan dengan berkesan dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, makluman rasmi berhubung pendirian itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri sejurus selepas sidang media berkenaan.

Perkembangan itu dijangka mencetuskan ketidaktentuan terhadap kedudukan kerajaan negeri ketika ini, termasuk kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran sekiranya sokongan majoriti tidak lagi memihak kepada Menteri Besar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast