PETALING JAYA – Dua rumah teres dan empat kenderaan termasuk tiga kereta dan sebuah motosikal terjejas dalam satu kebakaran di Jalan SS 5D/6, di sini, petang semalam.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 7.40 petang.
“Sepasukan 16 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dan BBP Damansara digerakkan dan tiba ke lokasi kejadian jam 7.55 petang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelas Ahmad Mukhlis, setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fadhil Abd Shukor mendapati dua rumah teres kelas A berkeluasan 1,400 kaki persegi masing-masing terbakar 40 dan 30 peratus.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah teres bangunan kelas A berkeluasan 20×70 kaki persegi.
“Sebuah rumah terbakar 40 peratus dan sebuah lagi rumah terbakar 30 peratus,” katanya.
Dalam kebakaran itu katanya, empat kenderaan turut terjejas yang mana sebuah Perodua Axia musnah terbakar 95 peratus dan sebuah motosikal 95 peratus.
“Sementara itu, kereta Proton Preve dan Proton X50 pula musnah terbakar 50 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















