Mohd Uzir pada Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama persatuan perniagaan dan badan profesional negeri Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyasarkan liputan hampir 100,000 pertubuhan perniagaan di Pulau Pinang menerusi pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE 2026) yang disifatkan sebagai antara pengumpulan data ekonomi paling menyeluruh di negeri itu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan BE 2026 melibatkan tiga fasa utama iaitu Fasa 1 (Januari–Februari) membabitkan pertubuhan mikro dan aktiviti informal, Fasa 2 (Mac–Ogos) melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala Fasa 3 (Jun–Oktober) melibatkan pertubuhan besar.

Menurutnya, setakat ini, kira-kira 30 peratus pertubuhan perniagaan di Pulau Pinang telah selesai dibanci di bawah pelaksanaan Fasa 1 operasi berkenaan.

Beliau berkata, BE 2026 turut meliputi lima sektor utama ekonomi iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian bagi memastikan liputan data yang menyeluruh merentasi keseluruhan struktur ekonomi negeri.

“Pelaksanaan ini penting bukan sahaja untuk mendapatkan data ekonomi yang komprehensif, tetapi juga bagi mengenal pasti cabaran awal serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan.

“BE 2026 juga selaras dengan pelbagai pelan pembangunan negeri termasuk Penang 2030, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030, Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang 2030 serta Penang Digital Economy Master Plan 2025–2030.

“Antara penambahbaikan baharu dalam banci kali ini termasuk pengumpulan data berkaitan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan serta tahap kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di premis perniagaan,” katanya ketika sesi libat urus bersama persatuan perniagaan dan badan profesional negeri di sini.

EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik merasmikan Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama persatuan perniagaan dan badan profesional negeri Pulau Pinang di Butterworth hari ini.

Sesi berkenaan dirasmikan Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik.

Dalam perkembangan ekonomi negeri, beliau berkata, Pulau Pinang mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM121.5 bilion pada tahun 2024, meningkat 4.8 peratus berbanding RM116 bilion pada tahun sebelumnya, dengan sumbangan 7.4 peratus kepada KDNK negara.

Kata beliau, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar dengan 48.1 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 46.1 peratus, pembinaan 3.2 peratus, pertanian 1.8 peratus serta perlombongan dan pengkuarian 0.1 peratus.

“Pulau Pinang turut mencatat prestasi kukuh dalam eksport apabila merekodkan nilai RM494.9 bilion pada tahun 2024, menjadikannya penyumbang eksport barangan tertinggi negara, dengan eksport utama terdiri daripada litar elektronik bersepadu bernilai RM214.6 bilion.

“Bagaimanapun, Pulau Pinang sebagai hab eksport utama negara turut terdedah kepada kesan ketidaktentuan global termasuk krisis geopolitik di Asia Barat yang boleh memberi impak kepada rantaian bekalan dunia, harga minyak mentah, kos logistik, kadar inflasi serta sentimen pelaburan antarabangsa.

“Keadaan itu juga boleh mempengaruhi permintaan eksport, aliran pelaburan langsung asing (FDI) serta keputusan syarikat multinasional dalam memperluas operasi di rantau ini,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, Banci Ekonomi 2026 amat penting sebagai instrumen strategik untuk menilai tahap kesiapsiagaan ekonomi negeri dalam menghadapi ketidaktentuan global serta menyokong perancangan dasar berasaskan data.

“Semua pertubuhan perniagaan di negeri ini digesa memberikan kerjasama penuh bagi memastikan data yang diperoleh adalah lengkap, tepat dan berkualiti tinggi bagi tujuan perancangan ekonomi negara dan pembangunan yang lebih mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast