Muhammad Sanusi Md Nor dan Mahfodz Mohamed secara simbolik melancarkan jentera pilihan raya Pas dalam Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom, Muar malam ini.

MUAR – Terdapat beberapa tokoh baharu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang berminat menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendedahkan perkara itu berkata, mereka merupakan beberapa tokoh baharu.

Beliau yang juga Bendahari PN memberitahu, terdapat permohonan rasmi yang sudah diterima, namun masih dalam pertimbangan dan belum dibincangkan secara muktamad.

“Ada banyak tokoh besar NGO dan parti-parti yang sedang berkawan dengan kita. Mereka dah buat permohonan, tetapi ini belum dibincangkan lagi.

“Ada yang mohon tetapi belum mengaku secara terbuka. Jadi saya tak boleh cakap lagi, nanti saya maklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Ceramah Perdana Perikatan Nasional Negeri Johor di Pusat Komuniti Pas Muar, Parit Tarom di sini, malam tadi.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman.

Ditanya mengenai kemungkinan Pejuang menyertai PN, beliau memberi bayangan bahawa rundingan masih berjalan, namun enggan mengesahkan secara terperinci.

Sementara itu, mengenai isu pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Menteri Besar Kedah itu berkata, perkara berkenaan perlu diputuskan oleh Ahli Parlimen pembangkang sendiri dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen akan datang pada Jun ini.

“Ketua Pembangkang itu kena dibincang di peringkat Parlimen. Saya bukan Ahli Parlimen, jadi Ahli-ahli Parlimen yang akan bincang.

“Insya-Allah sebelum sidang Parlimen akan datang, bulan Jun, akan ada keputusan. Bila dilantik nanti, ia perlu dimaklumkan dan disahkan di Parlimen,” katanya.

Isu kedudukan Ketua Pembangkang menjadi tumpuan susulan status Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Sebelum ini dilaporkan, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan menyerahkan surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

PN pada Mac lalu memutuskan jawatan Ketua Pembangkang akan dipegang oleh seorang ahli Parlimen Pas.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast