Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu mengenai perkhidmatan kejuruteraan perunding pengurusan projek (ICE) fiber optik, 14 tahun lalu.

Tertuduh, Wong Chee Keong, 73, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi satu dokumen borang pengisytiharan (Declaration Form) bertarikh 13 Ogos 2012 kepada Penolong Pengurus Bahagian Teknikal Servis, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya di Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Menara Bank Pembangunan di sini, pada 13 September 2012.

Butiran palsu tersebut ialah ‘Kami, Silver Ridge Sdn Bhd, yang bertandatangan di bawah dengan ini secara tegas dan bersungguh-sungguh mengisytiharkan bahawa kami tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pihak-pihak utama dalam kontrak tersebut dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap projek ini dalam melaksanakan tugas profesional kami sebagai ICE bagi projek tersebut’.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau butir nilai matan palsu, jika butiran palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan penyerahan pasport dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM sebulan sekali.

Peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Chee Keong bagaimanapun tidak membantah jumlah jaminan berkenaan, namun merayu agar pasport tidak diserahkan kepada pihak mahkamah dan syarat lapor diri dilonggarkan kepada dua bulan sekali.

“Anak guam juga adalah seorang pesara kerajaan yang menerima pencen sebanyak RM1,600 sebulan dan menetap di Melbourne, Australia kerana menjaga isterinya yang sudah uzur.

“Isterinya yang berusia 76 tahun kini menghidap penyakit saraf, diabetes dan katarak. Pihak kami juga ada menyediakan laporan perubatan isterinya.

“Justeru, kami memohon agar syarat pasport tidak diperintahkan bagi memudahkan urusan anak guam melawat isterinya,” katanya yang turut dibantu peguam Siti Sarah Khalil.

Tambah Muhammad Hafizuddin lagi, Chee Keong bukan individu yang berisiko melarikan diri ke luar negara kerana sentiasa memberikan kerjasama sepanjang siasatan dilakukan oleh SPRM.

Bagaimanapun, Vivien membantah permohonan itu kerana tertuduh boleh membuat permohonan mendapatkan pasport setiap kali diperlukan bagi tujuan melawat isterinya di luar negara.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd Kafli menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat dua penjamin warganegara dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM selama dua bulan sekali. Tiada syarat mengenai pasport diperintahkan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast