JOHOR BAHRU – Bekas sukarelawan Southern Volunteer (SV) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan memperdaya seorang lelaki warga asing bagi membayar RM700 bagi proses discaj di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Nor Shahira Abdul Razak, 29, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Dia yang kini sudah tidak bekerja turut diarahkan menjalani hukuman penjara lima bulan.
Bagaimanapun, tertuduh membayar hukuman denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdaya dengan curang sehingga mendorong Gazee Israfil menyerahkan wang berjumlah RM700 kepadanya bagi proses discharge di HSA di mana penama tersebut tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakannya.
Perbuatan berkenaan dilakukan di kaunter polis bantuan unit hasil dan bilik daftar masuk HSA, pada Selasa lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Heng Wang Qianwei.
Wang Qianwei dalam rayuannya memohon hukuman yang ringan dikenakan terhadap anak guamnya yang tidak bekerja selain terpaksa menanggung ibu bapa yang uzur dan adiknya.
Terdahulu, portal ini melaporkan seorang wanita yang dipercayai sukarelawan yang menyamar sebagai kakitangan HSA bagi memperdaya seorang lelaki warga asing ditahan polis pukul 6.30 petang di hospital berkenaan, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek wanita itu mengambil kesempatan terhadap seorang buruh kasar warga asing yang mendapat rawatan di hospital berkenaan dengan bayaran RM700.
Raub menafikan suspek berkenaan adalah sebahagian daripada sukarelawan SV yang ditempatkan di hospital berkenaan sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah menjelaskan, individu terbabit telah ditamatkan perkhidmatan sejak bulan lalu kerana tidak aktif.
Beliau berkata, individu tersebut dipercayai yang masih menggunakan nama SV turut dilaporkan menyamar sebagai kakitangan HSA bagi memperdaya orang awam di hospital berkenaan.
“Sukarelawan SV diletakkan di HSA bagi membantu kelancaran di ruang legar hospital berkenaan susulan kesesakan termasuk menolak kerusi roda pesakit.
“Justeru, saya tidak akan sesekali berkompromi dengan individu yang merosakkan nama SV ini, ia adalah lambang dan imej negeri Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















