KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini melaksanakan Projek Trafik Lancar yang melibatkan tiga projek jalan bersasar di lokasi kritikal yang dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga projek tersebut termasuk pembinaan jalan dan terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link), naik taraf susur keluar dari NPE ke Lebuhraya KL–Seremban dan persimpangan Jalan 7/24 serta MRR2 (Wangsa Melawati).
“Ketiga-tiga projek ini mencerminkan pendekatan baharu DBKL yang meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya,” katanya.
Terdahulu, DBKL berkata, tiga projek tersebut dilaksana menggunakan pendekatan baharu iaitu kutipan caj pembangunan.
“Langkah pembaharuan ini membuktikan komitmen DBKL untuk memastikan setiap pembangunan baharu turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti sekitar khususnya dari segi jaringan jalan raya, sistem perparitan, kemudahan awam dan penyuraian trafik,” jelasnya.
Katanya, pemantauan rapi akan dilaksanakan sepanjang tempoh projek bagi memastikan kemajuan mengikut jadual dan kualiti kerja terjamin.
Sebagai info, katanya, projek jalan dan terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link) dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan siap dalam tempoh dua tahun.
Naik taraf Susur Keluar dari NPE ke Lebuhraya KL–Seremban juga dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan siap dalam tempoh satu tahun.
Sementara itu, kerja-kerja naik taraf persimpangan Jalan 7/24 serta MRR2 (Wangsa Melawati) siap dalam tempoh empat bulan bermula Jun nanti. – MalaysiaGazette
















