Hadzrat Hussien menunjukkan parang yang dirampas selepas menumpaskan Geng Kuyai, pada sidang akhbar di IPD Pontian, hari ini.

PONTIAN – Polis menumpaskan ‘Geng Kuyai’ yang aktif melakukan samun bersenjata di kedai serbaneka, curi kenderaan serta pecah masuk kilang di daerah ini dalam operasi khas minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kumpulan itu dalam tempoh hanya kira-kira 20 minit melakukan dua rompakan di kedai serbaneka 24 jam di Taman Perindustrian Pekan Nenas dan bandar Pontian pada 18 April lalu.

“Kejadian rompakan pertama berlaku kira-kira pukul 3 pagi apabila suspek utama berusia 33 tahun bersama-sama ahli kumpulan lain menyasarkan premis yang sunyi dan tiada pengawal keselamatan.

“Suspek terlebih dahulu berjalan di sekitar premis kira-kira 10 minit sambil memakai jaket bagi mengaburi mata orang ramai sebelum mengeluarkan parang yang disorokkan dalam baju.

“Mereka kemudian menyamun pekerja premis menggunakan parang dan besi sebelum melarikan pelbagai barangan serta wang tunai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan dua laporan polis diterima pukul 7.33 pagi dan 7.47 pagi hari sama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bersama-sama Task Force Lejang dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan serbuan bermula pukul 6 petang pada 21 April.

Menurutnya, lima suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun berjaya ditahan di sebuah homestay yang disewa di Iskandar Puteri.

Jelasnya, hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan narkotik manakala dalang utama turut dikehendaki polis berkaitan kes curi kereta.

Ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Hadzrat Hussien berkata, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk sebuah Perodua Myvi, dua motosikal, 11 telefon bimbit, dua tablet, nombor pendaftaran palsu, senjata seperti parang, pisau, kuku kambing serta pelbagai peralatan pecah masuk dengan nilai keseluruhan rampasan RM60,000.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu menyelesaikan tiga kes samun, tiga kes curi kenderaan dan satu kes pecah kilang di daerah ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, semua suspek kini ditahan reman sehingga 30 April.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast