KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor menggesa tindakan tegas segera diambil terhadap pelaku yang mencela dan mengaibkan Institusi Diraja Selangor yang dipayungi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan perbuatan tersebut bukan sahaja melampaui batas, malah disifatkan sebagai cubaan menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu.
“Saya bertegas menyatakan bahawa tindakan keji sedemikian adalah ditegah di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, Setiausaha Politik beliau, Saifuddin Shafi Muhammad telah membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dijalankan berhubung perbuatan hina tersebut.
Dalam masa sama, beliau sendiri bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri supaya tindakan pantas diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Katanya, beliau akan sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia berkenaan perkembangan siasatan oleh agensi penguatkuasa dan menyembah maklum sebarang bentuk kemaskini siasatan kes tersebut kepada Sultan Selangor.
Terdahulu, MCMC memaklumkan pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre dipanggil untuk membantu siasatan memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MCMC berkata kes disiasat di bawah Seksyen 233, Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan, Institusi Diraja khususnya Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama Islam serta lambang kukuh perpaduan rakyat dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Beliau turut menyifatkan reaksi pantas masyarakat yang mengutuk perbuatan berkenaan sebagai isyarat jelas sokongan rakyat terhadap peranan serta fungsi Institusi Diraja Selangor di bawah naungan Tuanku Sultan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat serta Institusi Diraja, khususnya di Selangor yang menjadi simbol kekuatan perpaduan rakyat pelbagai kaum. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Hina Sultan Selangor: MCMC panggil pentadbir FB HuaYan The Pureland Learning Centre
















