Presiden Malaysia Recyclers Association, Datuk Joe Saravanan
Presiden Malaysia Recyclers Association, Datuk Joe Saravanan

KUALA LUMPUR – Industri kitar semula tempatan terus menikmati limpahan manfaat hasil pelaksanaan Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS), sekali gus menepis polemik yang masih diperdebatkan segelintir pihak.

Malaysia Recyclers Association (MRA) menegaskan, sistem berpusat itu terbukti membantu kelangsungan operasi industri yang sangat bergantung kepada tenaga kerja asing dalam skala besar.

Presidennya, Datuk Joe Saravanan berkata, FWCMS memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan tenaga kerja dilaksanakan secara lebih tersusun, cekap dan telus.

Katanya, sebagai sektor yang menggaji ribuan pekerja asing, kehadiran sistem berkenaan memberi nafas baharu kepada syarikat untuk mengurus keperluan tenaga kerja secara sistematik.

“FWCMS telah beroperasi merentasi lima pentadbiran kerajaan yang berbeza, sekaligus membuktikan kekuatan sistem ini serta ketegasan pelaksanaan dan pemantauannya tanpa mengira perubahan politik.

“Ini menunjukkan sistem itu sendiri bukan masalah, sebaliknya telah membawa manfaat kepada pelbagai pihak khususnya majikan.

“Isu sebenar adalah pihak yang terus mempolitikkan FWCMS walaupun tidak menyumbang kepada industri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

FWCMS merupakan sistem berpusat yang menyelaras pengambilan pekerja asing ke Malaysia meliputi proses permohonan, kelulusan serta dokumentasi majikan secara lebih telus dan teratur.

Sistem yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd itu turut dilihat berjaya menutup ruang penyelewengan selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam proses pengambilan pekerja.

Malah sebelum ini, Bestinet memaklumkan FWCMS berkesan mengekang aktiviti kartel serta menyekat eksploitasi dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata industri kitar semula antara sektor yang menerima impak positif secara langsung terutama dari segi tempoh pemprosesan yang lebih pantas, ketelusan serta kebolehpercayaan sistem.

Menurutnya, kelebihan itu amat kritikal khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan sistem lebih berstruktur bagi menjamin kelangsungan operasi.

“Bagi banyak majikan, khususnya PKS, keupayaan beroperasi dalam sistem yang lebih telus dan teratur adalah faktor kritikal untuk memastikan perniagaan terus berjalan lancar,” katanya.

Beliau menegaskan, sokongan terhadap FWCMS selari dengan keperluan industri untuk kekal berdaya saing selain memastikan pengurusan tenaga kerja asing yang lebih mampan, berintegriti dan berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast