MAKKAH – Jemaah haji Malaysia digalakkan bergerak secara berkumpulan ketika berada di Masjidil Haram bagi mengelak tersasar (tersesat).
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, kejadian tersasar biasanya berlaku apabila jemaah memasuki Masjidil Haram melalui pintu lain dan keluar pintu lain.
“Jadi kita sarankan mereka ini kalau boleh bergerak mengikut kumpulan,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya mereka tersasar, jemaah boleh menggunakan Google Map yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi WhatsApp kumpulan masing-masing untuk balik semula ke maktab masing-masing.
Selain itu, katanya, TH juga ada menempatkan para petugasnya di sekitar Masjidil Haram untuk mengenal pasti mana-mana jemaah yang mungkin tersasar.
“Kita mempunyai petugas peronda yang akan membantu, mereka memakai baju-T hitam,” tambahnya.
Paling penting, Mohd Hisham menasihatkan jemaah yang tersasar agar jangan panik, sebaliknya tunggu sahaja di tempat mereka berada dan terus buat panggilan atau mesej di WhatsApp ke Pusat Panggilan Jemaah Haji.
“Kita akan memastikan mereka kembali ke tempat penginapan masing-masing, insya-Allah. – MalaysiaGazette
















